27 August 2010

.::.~an-Nas = maNusia~.::.

~al-Quran,kalamullah~


Assalamualaikum...

petang tadi ada usrah,alhmdulillah kami membincangkan perihal surah an-Nas yang bermaksud, (manusia)..surah yang ke 114,surah yang diturunkan di mekah (makkiyah) yang mengandungi 6 ayat..

Dalam surah ini dipohonkan perlindungan pada Tuhan yang memelihara manusia, yang memerintah manusia dan yang disembah manusia dan perkara yang dipohon perlindungan ialah kejahatan Syaitan yang datang dan menghilang iaitu yang membisik kejahatan dalam hati
manusia iaitu dari Syaitan yang tidak nampak dan Syaitan manusia. Memohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara, yang memerintah dan yang disembah itu bererti menghadirkan sifat-sifat Allah yang Agung yang dapat menolak segala kejahatan umumnya dan kejahatan Syaitan pembisik yang datang dan menghilang khususnya. Ar-Rab ialah sifat Allah yang memelihara, mengasuh, mengarah, menjaga dan melindung. Al-Malik ialah sifat Allah yang memilik,memerintah dan mentadbir. Al-Ilaah ialah sifat Allah yang menguasai segala-galanya.

Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan dan kejahatan yang meresap dalam hati-hati manusia yang tidak mengetahui bagaimana hendak menolak kejahatan-kejahatan yang tersembunyi itu...Allah itu adalah pemelihara dan pelindung segala makhluk,
pemerintah segala makhluk dan penguasa segala makhluk, tetapi di sini Allah disebut khusus sebagai pemelihara dan pelindung manusia,pemerintah manusia dan Tuhan yang disembah manusia supaya manusia merasa begitu hampir kepada-Nya dalam detik-detik mencari perlindungan dan naungan.

Allah telah mengarahkan Rasul-Nya SAW dan sekalian umatnya,supaya mencari perlindungan dan naungan pada-Nya dengan menghadirkan pengertian-pengertian dan sifat-sifat tersebut semoga diperlindungkan mereka dari kejahatan yang sangat halus jejak langkahnya, yang tidak
terdaya ditolakkannya melainkan dengan pertolongan Allah pemerintah dan penguasa yang Maha Agung, kerana kejahatan yang halus itu menyerang mereka tanpa disedari.


Kita tidak mengetahui bagaimana berlangsungnya bisikan Syaitan,tetapi kita merasakan kesan-kesannya dalam jiwa dan dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan antara Adam dengan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama. Kita sedar bahawa Syaitan telah
mengisytiharkan perang berterusan, iaitu satu perisytiharan yang lahir dari tabiat jahat yang ada dalam dirinya, dan lahir dari sifat-sifat angkuh, hasad dengki dan dendam kesumatnya terhadap manusia.


Kita sedar Syaitan telah meminta kebenaran dari Allah untuk memerangi
manusia, dan permintaannya itu telah diluluskan Allah kerana suatu hikmat yang diketahui-Nya. Walau bagaimanapun Allah tidak membiarkan manusia mengharungi perjuangan itu tanpa senjata, malah Dia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu
lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya maka dialah sahaja yang
patut disalahkan.

Dari Ibn 'Abbas RA katanya sabda Rasulullah SAW:


"Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut
Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan
kejahatan."

Mengenai penggoda-penggoda dari kalangan manusia pula kita memang mengetahui dan mengenali banyak dari hasutan-hasutan dan bisikan-bisikan mereka yang jahat, malah kita tahu bahawa di antara hasutan dan bisikan jahat manusia itu ada yang lebih buruk daripada hasutan dan bisikan Syaitan. Mereka terdiri daripada: Teman-teman jahat yang menaburkan kejahatan ke dalam hati dan akal kawannya tanpa disedari dan diawasi olehnya kerana ia teman yang dipercayainya. Pemagar-pemagar yang mengelilingi pembesar-pembesar yang
membisikkan fikiran-fikiran yang jahat kepada mereka sehingga mereka
bertindak ganas dan zalim terhadap rakyat jelata negerinya.


Tukang-tukang umpat dan fitnah yang pandai bermadah dengan kata-kata yang begitu indah
dan licin hingga apa yang dikatakannya itu kelihatan seolah-olah amat benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Penjual-penjual nafsu yang masuk dari pintu-pintu naluri dengan gaya yang amat menarik yang tidak dapat ditolak melainkan dengan kesedaran hati nurani dan pertolongan dari Allah.

alhmdulillah,syukur sebab ana dapat kongsikan sedikit ilmu dengan sahabat semua..input yang kita dapat harus dikongsi bersama supaya output yang keluar nati berkesan dan tersebar...

peringatan untuk diri ana dan juga sahabat2 ...




~wallahu'alam~

No comments:

Post a Comment